Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila si mati dikuburkan.., datanglah
kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di
antaranya disebut dengan nama “Munkar” dan yang satulagi disebut dengan
nama “Nakir”, (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan
rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:”Apa yang pernah
engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (dan pada satu
riwayat oleh Abu Daud:
Mereka bertanya kepadanya: “Apa yang engkau pernah sembah?” Maka
kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan
berkata: “Aku menyembah Allah!” Kemudian ia ditanya lagi: “Apa yang
engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?” (Dan pada
satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan
berkata: “Siapa Tuhanmu?” Ia menjawab: “Tuhanku ialah Allah!” Mereka
bertanya lagi: “Apa agama mu?” Ia menjawab: “Agamaku ialah Islam!”
Mereka bertanya lagi: “Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam
kalangan kamu)?” Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan
menjawab dengan berkata: “Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah
dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada
Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya
Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!”
Mereka berkata kepadanya: “Kami sedia mengetahui bahawa engkau
mengakui yang demikian”; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa
Baginda s.a.w bersabda: “Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya:
“Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari
Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah
baginya sebuah pintu ke Syurga”. “Rasulullah s.a.w bersabda lagi: “Lalu
datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian
dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan
cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya:
“Tidurlah!” Lalu ia berkata: “Bolehkah aku balik kepada keluargaku
supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?”
Dua Malaikat itu berkata kepadanya: “Tidurlah seperti tidurnya
pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih
ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat
baringnya itu. Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan
Malaikat itu dengan katanya: “Aku dengar orang berkata demikian, maka
aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak”. Lalu
dua Malaikat itu berkata: “Memang kami tahu engkau berkata demikian”;
(dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: “Lalu diseru oleh penyeru dari
langit katanya: “Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah
kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka,
serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka”. Rasulullah s.a.w.
bersabda lagi: “Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan
udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi
mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah
ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari
kuburnya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan