Hari ni nak share 20 Amalan Pemurah Rezeki:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya
dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku
maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak
melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku
tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah
dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
*Jangan lengahkan solat.
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda
Rasulullah SAW : “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT
akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya
dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Hadis Riwayat
Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin
Abbas r.a.)
* sambil buat keje tu istighfar dalam hati.. so sambil dpt pahala kerja, dapat juga pahala istighfar.
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan
saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW
: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang
dibuatnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah SWT
Banyak ingat Allah SWT buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.
Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“...(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram.” (Surah Ar-Ra’d, ayat 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang
ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada
ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Rasulullah SAW juga
bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya
dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala,
at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga
menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya
terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Hakim dan
ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah
kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang
lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
* yang ni kalau x paham lagi.. eden cubit laju-laju.
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam
bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Rasulullah SAW : “Siapa
yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Hadis Riwayat Muslim)
* paham ke paham? maksudnya .. kita
bantu orang.. akak bg contoh... hubby tanya.. cayang nak makan apa
arini.. hmmmm.. terana nak makan soto.. hubby pun gi cari.. dapat.. haaa
tu salah satu contoh..
8. Banyak berselawat
Ada
hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak
tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan,
dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada
hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang
lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan
hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan
dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai
beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari
hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada
Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah
mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi
SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa
kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza
wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang
membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan
baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan
baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh
rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan
doanya dimakbulkan Allah.
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan
dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah
dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas
mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti
pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat
al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya
adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya
jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim, ayat
7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Surah ali-Imran, ayat 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat
terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten
tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah
lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah,
al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan
pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya
Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk
mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya
‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung
dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah
suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak
tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak
anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang
baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi
baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah.
Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah
mencukupkan (keperluannya).” (Surah at-Thalaq, ayat 3)
Nabi SAW
bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar
tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia
pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad,
at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang
membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang
tidak terlintas di hatinya.” (Surah at-Talaq, ayat 2-3)
Pendek
kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang
sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini
menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Renung-renungkan dan marilah kita sama-sama beramal. Mudah-mudahan Allah SWT melimpah-ruahkan rezeki-Nya kepada kita. Amiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan